Pelaksanaan 5G antara agenda digital Bajet 2022


  • Berita
  • Rabu, 20 Okt 2021

TENGKU Zafrul berkata Bajet 2022 akan memperlihat agenda kelestarian dan kemampanan terus diperkukuhkan.
AGENDA pendigitalan meliputi pelaksanaan 5G, program JENDELA serta usaha meningkatkan pengamalan digital terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menjadi antara tumpuan Bajet 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Bajet 2022 juga secara khususnya akan memberi tumpuan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan atau 3R iaitu Recovery, Resilience dan Reform.

Beliau berkata, Bajet 2022 yang bakal dibentangkan pada Jumaat depan dirangka berdasarkan senario negara yang sedang pulih daripada krisis pandemik dan mengikut keperluan utama.

Menurutnya, pada masa sama, Bajet 2022 akan memperlihat agenda kelestarian dan kemampanan terus diperkukuhkan.

"Kerajaan akan menumpukan ke arah meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam serta penekanan unsur alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus (ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan Kerajaan.

"Ini adalah usaha untuk menggambarkan tekad negara membangunkan ekonomi yang lebih lestari dan terangkum, yang akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Surat Penerimaan SRP PEMULIH Fasa 2 SME Bank pada Rabu.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, setakat 1 Oktober 2021, jumlah jaminan yang telah diluluskan di bawah Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) yang diperkenalkan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN) adalah lebih RM2 bilion.

Untuk itu, beliau menyeru kepada para usahawan berjumpa dengan pihak bank atau institusi kewangan untuk memanfaatkan pelbagai skim yang disediakan sekiranya memerlukan bantuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tengku Zafrul, Bajet 2022, PKS, 5G, Parlimen