Pemilik syarikat didakwa guna logo halal palsu


TERTUDUH didakwa menggunakan logo halal tanpa mendapatkan perakuan daripada JAIPk pada 26 bungkus kuetiau dan 11 bungkus mi jenama Angsana. — Gambar hiasan/The Star

AKIBAT menjalankan perniagaan menggunakan logo halal tanpa perakuan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Jun lepas, seorang pemilik sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak pada Jumaat.

Teoh Sue Guat, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Lelaki itu didakwa menjalankan perniagaan yang telah melanggar Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, iaitu menggunakan logo halal tanpa mendapatkan perakuan daripada JAIPk pada 26 bungkus kuetiau dan 11 bungkus mi jenama Angsana.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Angsana Kangsar, Kawasan Perindustrian Kuala Kangsar, Kuala Kangsar pada 11 pagi, 22 Jun mengikut Perintah 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 November untuk sebutan semula kes. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mahkamah, logo halal, JAIPk