SELEBRITI terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai pada awal Mei lalu.
Peguam yang mewakili pasangan berkenaan, Wan Aizuddin Wan Mohamed berkata, representasi itu dikemukakan pada Selasa bagi memohon AGC mempertimbangkan untuk menarik balik pertuduhan tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sebutan semula kes itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh pada Khamis.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes terbabit pada 1 Disember depan.
Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan pada 2 Mei lalu.
Pasangan berkenaan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan pada pukul 4 petang, 2 Mei lalu.
Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis tersebut atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram