Tidak perlu lagi ujian saringan ke Langkawi, kata menteri


  • Primer
  • Selasa, 12 Okt 2021

SERAMAI 54,341 pelancong telah menjalani ujian saringan Covid-19 dengan hanya 216 atau 0.4 peratus pelancong dikesan positif.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi individu yang ingin melancong ke Langkawi, berkuat kuasa Selasa.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peratus pelancong yang dikesan positif semasa saringan yang sangat rendah, malah tiada kluster Covid-19 yang berpunca daripada gelembung pelancongan di Langkawi.

"Ia juga selaras dengan kebenaran rentas negeri bagi Keluarga Malaysia, termasuk perjalanan pulang ke kampung dan tempat pelancongan bermula Isnin lepas,” katanya.

Khairy berkata syarat wajib vaksinasi Covid-19 lengkap bagi semua pelancong dewasa yang mengembara ke pulau itu masih perlu dipatuhi, selain menggalakkan pelancong untuk melakukan ujian kendiri Covid-19, sebelum memulakan perjalanan ke Langkawi.

"Bagi individu yang disahkan positif dan sedang dalam tempoh pengasingan dan pemantauan atau dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif yang sedang menjalani perintah kuarantin dan pengawasan, mereka tidak dibenarkan melancong,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehingga Ahad lepas, Khairy berkata seramai 54,341 pelancong telah menjalani ujian saringan Covid-19 dengan hanya 216 atau 0.4 peratus pelancong dikesan positif, manakala hanya seorang pelancong yang mengalami gejala semasa di Langkawi dan didapati positif Covid-19 melalui ujian RT-PCR.

"Siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi,” katanya.

Sebelum ini Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi telah dilaksanakan mulai 16 Sept lepas, dengan kerajaan mewajibkan setiap pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memasuki pulau itu. — Majoriti