Nama Loki, Thanos semakin popular di AS


  • Hiburan
  • Jumaat, 22 Okt 2021

POPULARITI watak Loki dan Valkyrie mempengaruhi ibu bapa di AS untuk menamakan anak-anak mereka sempena karakter tersebut.

NAMA karakter dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) seperti Loki dan Thanos dilaporkan menjadi pilihan ibu bapa untuk menamakan anak mereka di Amerika Syarikat pada tahun 2020.

Menurut data yang dikeluarkan Pentadbiran Keselamatan Sosial AS, terdapat peningkatan dalam jumlah kanak-kanak yang dinamakan sempena watak hero dan antagonis dalam filem terbitan Marvel Studios.

Antara nama-nama yang popular termasuklah Loki lakonan Tom Hiddleston, Valkyrie (Tessa Thompson) dan Thanos (Josh Brolin).

Seperti yang dilaporkan oleh Huffington Post, data Pentadbiran Keselamatan Sosial AS menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam trend menamakan bayi sempena watak popular Marvel ekoran kejayaan MCU meraih tontonan box office (pecah panggung).

"Lebih banyak nama karakter Marvel tersenarai dalam data agensi itu pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya, yang jelas menunjukkan terdapat kenaikan dalam trend ini," katanya.

Sebanyak 135 kanak-kanak diberi nama Loki pada tahun lalu, berbanding hanya 71 pada tahun 2011, sementara 128 bayi dinamakan sempena karakter Valkyrie dengan peningkatan berbanding 75 orang pada tahun 2017.

Data berkenaan turut memperlihatkan nama Thanos menjadi nama bayi yang agak popular, dengan tahun 2019 menyaksikan 18 kanak-kanak dinamakan sempena karakter supervillain itu ekoran impak dalam filem Avengers: Infinity War dan Avengers: Endgame.

Watak Marvel lain yang juga popular ialah Bucky (sembilan orang) dan Quill (47 orang) masing-masing diilhamkan daripada karakter Winter Soldier (Sebastian Stan) dan Star-Lord (Chris Pratt).

Nama-nama watak Marvel lain yang lebih tradisional seperti Bruce, Tony, Carol dan Clint pula menunjukkan penurunan dari segi populariti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram