KEBENARAN perjalanan merentas negeri menyaksikan Bursa Malaysia terus menunjukkan aliran kenaikan buat sesi kelima berturut-turut untuk memberikan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi.
Sejak dibuka 9.05 pagi Isnin, indek penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 7.81 mata kepada 1,571.71 dengan indeks utama dibuka 3.98 mata lebih tinggi pada 1,567.88.
Sentimen ini juga memberikan indeks di Bursa Malaysia berada dalam zon positif dengan kaunter untung mengatasi rugi.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 396.45 juta unit bernilai RM186.90 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan prospek ekonomi semakin cerah selepas kebenaran merentas negeri dan ke luar negara mulai hari ini.
Ia juga akan melonjakkan minat terhadap ekuiti tempatan.
"Saham bertemakan pemulihan seperti syarikat penerbangan, pelancongan dan pengangkutan mungkin mendapat manfaat selepas pengumuman kerajaan pada hujung minggu untuk membuka semula sempadan perjalanan.
"Pasaran komoditi yang positif juga dilihat akan memberi keuntungan kepada saham minyak dan gas serta perladangan,” katanya.
Bagi kaunter aktif, AirAsia Group dan AirAsia X yang mendapat rangsangan daripada jangkaan pemulihan sektor pelancongan, masing-masing meningkat 10 sen kepada RM1.29 dan satu sen kepada 9.5 sen. — Bernama