Pandemik Covid-19, landskap politik tempatan rencat saham tempatan


  • Bizz
  • Ahad, 10 Okt 2021

KEPENTINGAN kestabilan dan pertumbuhan ekonomi akan menjadi penanda aras buat kerajaan pada era Covid-19. — Agensi
KERENCATAN global akibat pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan landskap politik tempatan menyebabkan pergerakan Bursa Malaysia sejak dua tahun kebelakangan ini agak bergolak.

Pada Mac 2020, bursa tempatan merosot di bawah paras 1.300 dan sehingga kini terus menerima tekanan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Principal Asset Management Singapore, Christopher Leow, beliau bagaimanapun yakin Bursa Malaysia masih mampu mengukuh kembali dengan disokong oleh kestabilan dalam persekitaran tempatan.

"Pertumbuhan ekonomi negara akan menjadi penanda aras kerajaan dalam era Covid-19 dengan kestabilan bakal memainkan peranan yang penting dalam perjalanan ke arah masa depan.

"Saya percaya bahawa kerajaan memahami kepentingan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi pada pilihan raya yang akan datang," katanya.

Tambah Leow, riak pasaran nampaknya semakin reda selepas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri serta diikuti oleh pemeteraian perjanjian bipartisan yang bersejarah antara parti pemerintah dan blok pembangkang.

Bloomberg melaporkan penanda aras FBM KLCI bergerak antara 1,452,13 dan 1,695,96 dalam jangka masa 52 minggu, manakala dari tahun ke tahun, ia mencatatkan penurunan 4.05 peratus pada 7 Oktober.

Pada Jumaat lepas, bursa tempatan ditutup pada 1,563.9 mata dengan jumlah perolehan sebanyak 4.99 bilion unit bernilai RM3.34 bilion.

Selain itu, Leow ketika mengulas mengenai pasaran ASEAN berkata, rantau ini ketinggalan agak jauh disebabkan aliran keluar akibat pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, dengan pembukaan kembali ekonomi selepas rantau ini mencatatkan peningkatan vaksinasi, kepercayaan global akan bertambah, sekali gus, membentangkan peluang pemulihan ekonomi sambil memperkuat daya tahan kawasan berkenaan.

"Ini akan menghasilkan pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta pertumbuhan pendapatan di semua sektor seperti perhotelan, penerbangan dan lain-lain," katanya.

Dalam pada itu, para penganalisis menjangkakan para pelabur terutama pihak asing akan terus berada di luar bagi menunggu pembentangan Belanjawan 2022 menjelang 29 Oktober ini, memandangkan belanjawan berfungsi sebagai petunjuk kestabilan kerajaan. — Bernama