KONTROVERSI nama arak yang didakwa mencemarkan agama Islam menjadi perbualan hangat orang awam yang mempunyai pendapat berbeza tentang isu itu.
Meletus kerana penggunaan nama Timah sebagai jenama arak keluaran tempatan, ramai yang mengecam pengunaan nama itu yang dikatakan mirip nama anak perempuan Rasulullah SAW, Fatimah.
Bagaimanaoun, berbeza dengan pandangan seorang pengguna laman sosial Facebook, Wan Hamidi yang berkongsi pandangan menerusi satu hantaran pada Selasa.
Dalam status tersebut Wan berkongsi bahawa pemahaman terhadap budaya, adat resam dan bahasa orang lain di luar sana akan menjelaskan kenapa sesuatu perkataan yang pada masyarakat tempatan bermaksud negatif atau menyentuh sentimen agama digunakan.
"Kadang-kadang bila saya jenguk ke luar, mulalah nampak benda-benda yang meresahkan hati.
"Namun, apabila saya memujuk diri untuk membuka pintu hati, barulah dapat faham sedikit sebanyak tentang budaya, adat resam dan bahasa orang lain di luar sana. Begitulah adanya," tulisnya.
Bersama status tersebut, Wan turut berkongsi 12 keping gambar jenama arak yang menggunakan perkataan kasar dan nama Islam dalam kosa kata masyarakat Malaysia.
Antaranya, kotor, za***, muaddi, hadi, si**, chi*** al-Shallal dan lain-lain yang dikategorikan sebagai perkataan makian.
Status berkenaan mendapat perhatian lebih 3,000 pengguna yang turut berkongsi semua hantaran berkenaan.
Ia juga mendapat lebih 1,300 reaksi dari pengguna Facebook.
Ramai yang bersetuju dengan pandangan Wan yang pada masa sama mengatakan bahawa kadangkala ada perkataan yang digunakan oleh orang luar tidak bermaksud kasar atau mahu menghina Islam.
Penggunaan jenama dan nama untuk sesuatu produk adaah berdasarkan idea dan konsep yang dirancang oleh pengasasnya.
Mungkin ada yang sengaja mahu membuat kontroversi sebagai cara 'murah' pemasaran, namun sebelum melatah sebaiknya buat rujukan dan kajian terlebih dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram