Contohi bandar Erbil jika Malaysia mahu jadi destinasi pelaburan — Pakar


  • Massa
  • Khamis, 21 Okt 2021

KERAJAAN harus memberikan insentif kepada PMKS terutama dalam sektor pelancongan.

KERAJAAN perlu fokus untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, kata Presiden Universiti Antarabangsa Qaiwan, Sulaymaniyah, Kerajaan Wilayah Kurdistan, KRG-Iraq, Dr Ismail Abd Rahman.

Menurut beliau, dalam mencapai sasaran itu, kerajaan harus memberikan insentif kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk lebih proaktif di arena antarabangsa.

Ismail presiden  uni iraq

ISMAIL memberitahu bahawa Malaysia perlu mengambil contoh perkembangan ekonomi dalam landskap peniagaan antarabangsa di Timur Tengah.

"Tumpuan harus diberikan kepada beberapa perkhidmatan antaranya kesihatan, eksport makanan sejuk beku dan sebagainya.

"Sokongan insentif cukai dalam membantu industri kecil untuk eksport seperti makanan sejuk beku dan sebagainya cukup sesuai di dalam industri pendigitalan sekarang," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, Malaysia perlu mengambil contoh perkembangan ekonomi dalam landskap peniagaan antarabangsa di Timur Tengah.

Katanya mengambil contoh bandar Erbil, Kurdistan, lokasi itu dijangka menjadi pusat bisnes antarabangsa kedua selepas Dubai.

"Hal ini kerana tumpuan perniagaan dari China, India dan negara ekonomi dunia juga mencari peluang untuk mengembangkan sayap mereka di sana.

"Perkara ini wajar dicontohi memandangkan negara bergerak ke arah pemulihan dan peralihan daripada pandemik Covid-19," ujarnya.

Sementara itu beliau turut menjelaskan bahawa penekanan juga harus diberikan kepada industri yang terjejas teruk seperti pelancongan dan seangkatan dengannya.

Kata beliau lagi, kenaikan harga minyak mentah dan juga pemulihan ekonomi global yang telah meningkatan permintaan membantu perbendaharaan negara dan memberi ruang untuk kerajaan membantu pemberian insentif kepada industri yang terjejas.

"Insentif cukai terutama dalam mengalakkan pelancong domestik sungguh penting sebagai pemangkin industri ini.

"Hal ini akan membantu memulihkan kembali ekonomi dan pada masa sama menambah baik kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking," jelasnya.

Tambahnya lagi, kedudukan Malaysia meningkat ke tangga 25 dari tangga 27 pada tahun 2021 dalam senarai itu sekali gus mengatasi negara Thailand dan Indonesia di zon Asia Tenggara.

Mengulas tentang Pembentagan Bajet yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober depan, Ismail memberitahu ia adalah usaha yang baik dalam memperkasakan peniaga terutamanya golongan PMKS.

Katanya pembentangan itu dijangka akan memberikan tumpuan kepada golongan PMKS, pendigitalan dan juga agenda Wanita.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram