Syarat wajib vaksin bebankan peniaga, kata dewan perniagaan


  • Massa
  • Rabu, 20 Okt 2021

GOLONGAN usahawan dan peniaga perlu peka dengan keperluan vaksinasi untuk kelangsungan perniagaan mereka. — The Star

DEWAN Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) berpendapat langkah mewajibkan lengkap dos vaksin sebagai syarat kepada peniaga untuk mendapatkan kemudahan atau bantuan akan membebankan mereka.

Perkara itu dinyatakan Presidennya, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor, yang turut menyatakan bahawa seharusnya golongan usahawan dan peniaga perlu peka dengan keperluan vaksinasi dalam meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

abu hassan

ABU Hasan memberitahu bahawa golongan usahawan dan peniaga perlu memanfaatkan peluang dan bantuan yang diberikan kerajaan.

Katanya, golongan peniaga yang enggan mengambil vaksin hanya merugikan diri sendiri dan pada masa sama boleh memberi kesan kepada perniagaan mereka.

"Mewajibkan peniaga untuk ambil dua dos vaksin sebagai syarat untuk dapatkan kemudahan dan bantuan akan membebankan mereka yang rata-ratanya terjejas ekoran pandemik.

"Bagaimanapun, saya nasihatkan semua supaya fikirkan tentang masa depan, vaksin ini perlu malah secara amnya kalau mahu nikmati kemudahan dan bantuan kerajaan, ia sudah menjadi satu keperluan," katanya ketika dihubungi Majoriti pada Rabu.

Tambahnya lagi, dalam keadaan semasa, rugi jika golongan peniaga enggan mengambil vaksin.

Jelasnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) di bawah pimpinan Tan Sri Noh Omar sedang melaksnakan pelbagai usaha untuk membantu golongan peniaga dan usahawan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

"Vaksin ini tujuannya untuk mencegah, jika mereka tidak mahu divaksin maka mereka mendedahkan diri kepada masalah terutama kepada perniagaan.

"Banyak bantuan dan kemudahan yang diberikan dan bakal dirangkan oleh kementerian, jadi peluang ini perlu diambil untuk peniaga dan usahawan terutama perniagaan kecil serdehana (PKS) untuk bangkit pasca pandemik," ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau di pihak DPUKM setakat ini melaksanakan usaha memberi kesedaran dan nasihat berhubung keperluan mengambil vaksin kepada ahli.

Jelasnya lagi, setakat ini, berdasarkan rekod diambil dari kunjungan ahli ke pejabat DPUKM kira-kira 60 hingga 70 peratus ahli telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Terdahulu pada Selasa, Noh Omar menyatakan bahawa vaksinasi lengkap Covid-19 sudah menjadi syarat pergerakan di negara ini serta dalam sebahagian besar sektor.

Menurutnya, usahawan dan peniaga yang enggan divaksin tanpa alasan munasabah atau diberikan pengecualian atas sebab kesihatan, hanya menyusahkan diri serta perniagaan mereka sendiri.

Noh Omar bagaimanapun memaklumkan MEDAC buat masa ini tidak bercadang mewajibkan semua usahawan di bawah bantuannya mengambil vaksin Covid-19.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram