Negara berdepan risiko banjir mulai bulan depan


  • Primer
  • Selasa, 12 Okt 2021

UDARA sejuk juga boleh mempengaruhi keadaan cuaca negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia. — Gambar Hiasan

BANJIR dijangka berlaku pada fasa awal Monsun Timur Laut bermula November hingga Januari 2022.

Untuk negeri di Pantai Timur, hujan lebat berlaku bermula bulan depan hingga Disember manakala di Johor, Sabah dan Sarawak akan bermula Disember ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, tempoh Monsun Timur Laut kali ini dijangka bermula pada awal bulan depan hingga Mac.

“Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, hujan lebat berlaku antara November hingga Disember 2021.

“Sementara, mulai Disember 2021 hingga Januari 2022, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam masa sama, Muhammad Helmi menegaskan udara sejuk juga boleh mempengaruhi keadaan cuaca negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Muhammad Helmi menjelaskan Kelantan dan Terengganu dijangka akan menerima jumlah hujan melebihi kadar purata 450 mm hingga 1,000 mm, November ini.

“Sementara pada Januari hingga Mac 2022 secara amnya, semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata kecuali di pedalaman dan barat Sarawak serta timur Sabah yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata pada Januari iaitu antara 350 mm hingga 950 mm,” katanya. — Majoriti