Polis nafi tahan tiga pegawai kanan SPRM


  • 112
  • Isnin, 20 Sep 2021

ABD Jalil sahkan PDRM tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan tersebut

DAKWAAN berlaku kecurian barang kes termasuk wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) milik individu yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak benar.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan berkait dengan kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya sedar berita yang mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman kerana terbabit mencuri wang sudah pun tular di media sosial

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengesahkan bahawa sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian ini.

"Kita nasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak benar," katanya.

Menerusi satu laporan blog tempatan, Khamis lalu, timbul dakwaan mengatakan tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu.

Reman berkenaan dikatakan bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja menyalah guna media sosial untuk menyebarkan berita palsu. – Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sprm, pdrm, salah guna kuasa