PRUDENTIAL BSN Takaful Bhd (PruBSN) menerima pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan GIFA (Takaful) 2021, oleh Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA).
Anugerah itu diberikan kepada pengendali takaful nombor satu Malaysia tersebut atas prestasi dan usaha organisasi serta individu dalam mempromosikan dan mengekalkan industri kewangan Islam sebagai alternatif sistem kewangan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, pengiktirafan tersebut juga merupakan hadiah paling bermakna memandangkan PruBSN turut meraikan ulang tahun ke-15.
"Komitmen kami untuk memberikan yang terbaik selaras dengan slogan syarikat, 'Takaful untuk Semua, untuk Kehidupan.'
"Kami juga sedia membantu masyarakat memanfaatkan kehidupan mereka sepenuhnya dan akan terus melakukan penambahbaikan serta menjadikan perlindungan takaful lebih mudah diakses oleh semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya lagi, anugerah tersebut membuktikan komitmen PruBSN untuk terus memperkenalkan pelbagai perkhidmatan dan produk baharu dalam menerajui industri kewangan Islam.
Kata beliau lagi, pihaknya percaya masih terdapat jurang dalam pasaran dan banyak potensi untuk kami berkembang maju pada masa hadapan.
"Secara keseluruhannya, prestasi industri takaful pada tahun lepas telah menunjukkan kebangkitan semula, dan yakin pihaknya akan dapat terus memenuhi keperluan dan permintaan para pelanggan
"Sejajar dengan misi dan tujuan GIFA untuk meneraju industri kewangan Islam, PruBSN telah memperkenalkan pelbagai penyelesaian takaful untuk memenuhi pelbagai keperluan dan segmen pasaran yang pelbagai," ujarnya.
GIFA merupakan pengiktirafan pasaran terkemuka dalam perbankan dan kewangan Islam dunia.
GIFA juga merupakan penganugerahan berprestij yang mengiktiraf kerajaan, institusi dan individu yang telah meraih pencapaian luar biasa dalam bidang masing-masing, menyumbang kepada kemampanan perbankan dan kewangan Islam sebagai sistem berdaya maju dalam seni bina kewangan antarabangsa global. — Majoriti