134 kes varian Delta, Beta direkod dari 7 hingga 19 Oktober


  • Primer
  • Selasa, 19 Okt 2021

KES bagi varian Delta yang dikesan adalah 2,128 kes manakala varian Beta pula sebanyak 224 kes.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti sebanyak 134 kes baharu melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) virus SARS-CoV-2 dari 7 hingga 19 Oktober, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu melibatkan 132 kes varian Delta (B.1.617.2) serta dua kes varian Beta (B.1.351), menjadikan jumlah keseluruhan kes VOC di negara ini, kini sebanyak 2,366.

Katanya, perkembangan baharu itu menjadikan kumulatif kes bagi varian Delta yang dikesan adalah 2,128 kes dan varian Beta (224 kes).

"Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM) mengenal pasti 79 kes varian Delta, Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE-UiTM) mengesan 10 kes varian Delta, Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC-UM) (tujuh kes varian Delta) dan Malaysia Genome Institute (MGI) dengan satu kes varian Delta.

"Sementara itu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengenal pasti 37 kes melibatkan 35 varian Delta dan dua kes varian Beta,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Selasa.

Jelas Dr Noor Hisham, tiga negeri yang mencatatkan kes baharu varian Delta tertinggi adalah Johor dengan 43 kes, diikuti Negeri Sembilan 18 kes dan Melaka sebanyak 15 kes.

Bagaimanpun, tiada kes baharu membabitkan varian mempunyai kepentingan (VOI) dikesan dalam tempoh sama.

Untuk rekod, VOC lain yang pernah dikesan di Malaysia ialah varian Alpha dengan jumlah kes setakat ini sebanyak 14 kes, manakala bagi kes VOI melibatkan 13 kes varian Theta, varian Kappa (empat kes) dan varian Eta (tiga kes). — Majoriti