WALAUPUN sekolah sudah mula dibuka, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih perlu diteruskan.
Ini kerana, PdPR perlu dilaksanakan ekoran sistem penggiliran pelajar yang sedang digunapakai untuk sesi pembelajaran secara bersemuka.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, PdPR kali ini akan berbeza berbanding sebelum ini kerana ia akan lebih menjurus kepada persediaan bahan-bahan yang diperlukan oleh pelajar.
"Ini satu pendekatan yang perlu dilakukan supaya pelajar dapat berterusan bersama guru bagi mengikuti pembelajaran mereka. Walaupun bukan setiap hari namun ia sangat penting untuk pelajar sentiasa ada bersama serta berhubung dengan guru mereka kerana sekarang ini kita melaksanakan secara giliran.
"Saya berharap guru dapat membiasakan diri dengan sistem penggiliran ini sebelum lebih ramai lagi pelajar atau murid kembali ke sekolah seperti biasa," katanya.
Dr Mohd Radzi berkata demikian ketika melakukan tinjauan hari pertama persekolahan bagi negeri di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun, pada Isnin.
Ketika mengulas mengenai kesiapsiagaan untuk menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh kali ini, Dr Mohd Radzi menegaskan pihaknya akan melakukan persiapan sewajarnya mengikut keperluan semasa.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada kemungkinan sekolah akan terbabit dalam insiden banjir namun usaha perlu dilakukan akan mengikut keadaan semasa.
"Berdasarkan pengalaman lalu, tindakan kita berdasarkan keperluan dan keadaan semasa dalam menghadapi musim tengkujuh,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempertimbangkan untuk membolehkan pelajar Tingkatan Lima kembali ke kelas secara bersemuka tanpa penggiliran.
Radzi berkata, pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan pelajar terutamanya mereka yang dalam kelas peperiksaan.
Menurutnya, memandangkan kadar vaksinasi pelajar Tingkatan Lima semakin meningkat, KPM bersedia untuk membenarkan pelajar kelas peperiksaan ini hadir kelas bersemuka.
"Kita di KPM sedang berbincang dengan KKM bagi memantau kadar vaksinasi dalam kalangan pelajar dan akan mempertimbangkan untuk tidak melakukan penggiliran bermula dengan kelas peperiksaan seperti mana pelajar yang menghadapi peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) iaitu semester dua tempoh hari.
"Kita akan mulakan dengan pelajar Tingkatan Lima yang akan menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Jumlahnya agak besar dan kita masih berbincang bersama KKM apakah kadar vaksinasi yang membolehkan pelajar ini hadir ke sekolah tanpa penggiliran.
"Jika sudah ada tahap tertentu (kadar vaksinasi) yang membolehkan pelajar datang ke sekolah tanpa perlu penggiliran, kita akan benarkan mereka ini hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas secara bersemuka," katanya. — Sinar Harian