PRN Melaka: Umno akur sebarang keputusan


  • Politik
  • Isnin, 18 Okt 2021

UMNO sedia terima keputusan jika PRN Melaka tidak dapat dilaksanakan. — Bernama

UMNO akan menerima apa saja keputusan sekiranya kata putus yang bakal diambil nanti berpaksikan kepada manfaat rakyat termasuk tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Soal PRN Melaka bukanlah sesuatu keputusan yang mudah untuk dibuat terutamanya ketika musim pandemik Covid-19.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, selain keputusan Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, soal PRN Melaka juga perlu mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kalau kata Umno nak pilihan raya, SPR kata tidak boleh buat pilihan raya (sebab) MKN kata tidak selamat. Macam mana kita nak buat sebab ini bukan perkara kecil.

“Ini situasi untuk mendapatkan mandat rakyat. Kena ikut keadaan kita yang sedang menghadapi pandemik Covid-19.

“Kita ada prosedur operasi standard (SOP), tidak macam dahulu. Cuma kali ini berpandukan keputusan MKN, SPR dan nasihat (Pemangku) Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menjelaskan kerajaan akan membuat keputusan minggu depan, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN.

Ismail berkata, Sultan Nazrin akan mendapatkan taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SPR terlebih dahulu.

Seorang lagi ahli MKT Umno, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya secara peribadi berpandangan Umno akan membuat keputusan sesuai dengan keperluan.

“Hal ini terbukti dalam banyak isu dan keadaan. Contohnya isu krisis pertukaran atau perubahan kerajaan seperti yang dituntut oleh Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) itu juga berlaku. — Sinar Harian

umno, prn melaka, Yang di-Pertuan Agong