Rakyat akan buat pilihan tepat untuk PRN Melaka — Ahmad Maslan


  • Politik
  • Ahad, 17 Okt 2021

AHMAD Maslan berharap agar rakyat tidak lagi salah pilih kerana menukar kerajaan ini ada implikasi positif serta negatif. — The Star

RAKYAT akan membuat pilihan tepat dan rasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan dilaksanakan, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, ketidakstabilan politik untuk tempoh masa yang panjang sehingga kini ekoran tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu dijadikan iktibar.

Jelasnya, dia berpendapat rakyat kesal terhadap kesilapan mereka memilih pada PRU lalu.

"Memilih untuk mencuba sesuatu yang baru merupakan satu kesilapan yang dilakukan rakyat ketika itu maka (kesannya) negeri dan negara tidak stabil sehingga ke hari ini.

“Harapan saya rakyat tidak lagi salah pilih kerana menukar kerajaan ini ada implikasi positif serta negatif dan akibat (membenarkan) pihak tidak betul memerintah, bukan sahaja melaka malahan negara tidak stabil untuk tempoh yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan jentera Umno parlimen Hang Tuah Jaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Melaka pada Ahad.

Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustafa Musa, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridwan Mohd Ali dan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Ahli Parlimen Pontian itu turut berkata, Umno perlu memastikan kemenangan besar pada PRN Melaka sebagai langkah ‘menghentikan’ mandat percaturan wakil rakyat kepada mandat rakyat.

“Percaturan wakil rakyat bukanlah mandat sebenar dalam sesebuah demokrasi berparlimen terutama di negara kita ini.

"Apa yang paling mujarab adalah mandat sebenar rakyat yang perlu dikembalikan dalam PRN yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi," ujarnya.

Hurai beliau lagi, jika politik dan pentadbiran tidak stabil, ini akan mengakibatkan kesukaran banyak pihak termasuk dari segi mentadbir, pelabur, perubahan struktur politik dan juga rakyat secara amnya.

Katanya lagi, akar umbi di setiap peringkat bahagian perlu sentiasa bersiap siaga dari pelbagai aspek termasuk persiapan jentera supaya Umno dan Barisan Nasional (BN) dijadikan pilihan rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negeri Melaka. — Sinar Harian

Ahmad Maslan, PRN, Melaka, rakyat, memilih