Rentas negeri seludup ketum, lelaki tak lengkap vaksin dicekup


  • 112
  • Isnin, 18 Okt 2021

POLIS menahan seorang lelaki tidak lengkap vaksin yang merentas negeri dan disyaki cuba menyeludup ketum dari Kedah ke Selangor, Sabtu lepas.

BUKAN satu tapi dua kesalahan sekali gus!

Itu yang boleh menggambarkan ‘keberanian’ seorang lelaki yang ditahan merentas negeri tanpa vaksin lengkap apabila membawa tujuh guni berisi daun yang disyaki ketum.

Polis bertugas melakukan pemeriksaan ke atas kereta dipandu suspek di kawasan Hentian Rehat dan Rawat Behrang, Tanjung Malim, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supritendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan sepasukan anggota yang menjalankan pemantauan pematuhan Ops Covid-19, kira-kira jam 11 malam.

"Daun disyaki ketum seberat kira-kira 60 kilogram itu dianggarkan bernilai RM2,400.

"Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan masih tidak lengkap dos vaksin Covid-19 tetapi melakukan pergerakan merentas negeri dari Kedah ke Selangor,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Ekoran itu, pihaknya sudah pun mengeluarkan kompaun bernilai RM2,000 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 kerana merentas negeri tanpa vaksinasi lengkap.

Selain itu, lelaki berkenaan turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah itu turut direman hingga Rabu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. — Majoriti

lelaki, merentas, ketum, kompaun, tanjung malim