HUBUNGAN perdagangan antara Malaysia dan Filipina kekal utuh sekali gus menjadikan negara sebagai rakan dagang dan sumber pelaburan utama negara kepulauan itu.
Perkara itu dikongsi Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI), Ramon M. Lopez yang turut memberitahu untuk tahun 2021(sehingga Jun) Malaysia adalah sumber FDI keenam (pelaburan langsung asing) di Filipina.
"Walaupun ketika pandemik minat syarikat Malaysia untuk melabur atau mengembangkan perniagaan di Filipina kekal kukuh.
“Pada 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-10 sebagai rakan dagang Filipina, dengan keseimbangan perdagangan memihak kepada Malaysia," katanya.
Tambahnya lagi, dari segi pelaburan, Malaysia ditangga ke-12 sumber pelaburan IPA yang diluluskan, mencatat pertumbuhan 43.90 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Forum Pelaburan Filipina Ke-2 yang diadakan secara maya pada Khamis.
Perkara itu turut dikongsi Philippine Trade and Investment Centre Kuala Lumpur (PTIC-KL).
Menurut kenyataan PTIC-KL lagi, Filipina merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana terus yakin dan berminat untuk melabur di negara itu.
Jelasnya, Lopez memberi jaminan bahawa Filipina terbuka untuk perniagaan dan menggalakkan lebih banyak pelaburan dari Malaysia dalam lima industri utama iaitu pembuatan, perniagaan tani, perkhidmatan, infrastruktur dan pembinaan serta tenaga.
"Filipina juga menggalakkan pelaburan Malaysia dalam sektor khusus halal, oleh syarikat makanan dan minuman hingga perbankan Islam.
“Syarikat-syarikat Malaysia dipelawa untuk melabur di Filipina bagi mengembangkan industri Halal untuk memenuhi keperluan penduduk Islam (sebanyak 10 hingga 12 juta orang) Filipina dan bukan Islam," ujarnya.
Jelasnya lagi, dilaporkan baru-baru ini terdapat pelaburan dari Malaysia bernilai AS$130 juta (RM540 juta), meliputi beberapa sektor seperti yang dinyatakan.
Sementara itu, Atase Perdagangan di PTIC-KL Katrina Banzon berkata, antara 2018 dan 2020, Filipina telah menerima pelaburan diluluskan oleh Agensi Promosi Pelaburan (IPA) bernilai US$1.66 bilion (RM6.9 bilion) dari Malaysia.
Pelaburan itu melibatkan lima industri utama tersebut.
Forum Pelaburan Filipina 2021 dianjurkan PTIC KL dan Lembaga Zon Ekonomi Filipina (PEZA) dengan kerjasama Jabatan Perdagangan dan Perindustrian, Filipina di Kuala Lumpur dan Kedutaan Malaysia di Manila.
Forum sehari itu, sebahagian daripada Forum Pelaburan Filipina 2021 yang diadakan untuk mempromosikan Filipina sebagai destinasi pelaburan dan rakan kongsi ideal bagi syarikat-syarikat di Malaysia. — Majoriti