Khuatir lebih ramai bercerai menjelang fasa endemik


  • Massa
  • Khamis, 14 Okt 2021

ANTARA faktor utama perceraian ialah tiada lagi persefahaman dan masalah kewangan. — Gambar hiasan/The Star

STATISTIK permohonan perceraian dalam kalangan pasangan beragama Islam di Malaysia dibimbangi akan meningkat selepas negara memasuki fasa endemik kelak.

Ini kerana, meskipun terdapat 66,440 permohonan cerai sepanjang tempoh Mac 2020 hingga Ogos 2021 seperti yang didedahkan di Parlimen pada Selasa, jumlah itu boleh dianggap lebih rendah berbanding pada tahun 2019.

Statistik kes permohonan perceraian yang direkodkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dua tahun lalu menunjukkan kira-kira 95,000 orang bercerai sepanjang tempoh itu dan sebanyak 41,000 kes telah diluluskan oleh mahkamah.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar berkata, kes perceraian tetap berlaku di luar tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus menunjukkan pasangan yang sudah tidak sehaluan tetap akan mengambil jalan terakhir dengan berpisah.

"Kalau dilihat statistik dua tahun sebelum pandemik, kes cerai lebih tinggi berbanding semasa tempoh pandemik dengan terdapat perbezaan kira-kira 25,000 kes.

"Dalam konteks ini, dibimbangi kes cerai akan kembali meningkat apabila rakyat hidup dalam fasa endemik yang bakal dilalui tidak lama lagi," katanya kepada Majoriti.

Justeru, Mohd. Na'im berkata, pasangan yang tidak lagi sehaluan dan nekad bercerai tetap akan berbuat demikian walaupun mereka bersama secara fizikal atau tidak.

"Tiada kaitan sama ada duduk di rumah atau tidak ketika PKP. Kalau nak bercerai, mereka berpisah juga akhirnya," katanya lagi.

Sementara itu, Mohd. Na'im yang juga Ketua Pengarah JKSM menjelaskan, faktor utama perceraian ialah tiada lagi persefahaman, masalah kewangan serta isu pemberian nafkah zahir dan batin selain kehadiran orang ketiga.

"Jika diambil contoh sikap suami yang mengabaikan nafkah kepada isteri, perangai sebegini akan menjejaskan keharmonian rumah tangga.

"Jika berlarutan, hal ini boleh menyebabkan perceraian. Jadi bagi saya, ini lebih kepada masalah sikap," katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Selasa mendedahkan terdapat 121 permohonan sehari secara purata atau bersamaan lima permohonan dalam tempoh satu jam. — Majoriti

Cerai, Nafkah, PKP, Mohd. Na'im, Mahkamah Syariah,