STATISTIK permohonan cerai dikalangan pasangan beragama Islam di seluruh negara sepanjang Mac 2020 hingga Ogos 2021 agak merisaukan kerajaan apabila merekodkan 121 permohonan sehari secara purata.
Daripada data yang diperolehi, sebanyak 66,440 permohonan difailkan sepanjang tempoh itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jika diperjelaskan, jumlah itu boleh disamakan dengan lima permohonan dalam tempoh satu jam.
"Statistik Jabatan Kehakiman Syariah ini bagaimanapun hanya menunjukkan bilangan kes permohonan cerai yang difailkan dan bukan bermaksud semuanya diluluskan serta berakhir dengan perceraian," katanya ketika memberikan jawapan lisan di sidang Dewan Rakyat.
Selangor mencatatkan permohonan tertinggi dengan 12,479 kes, diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921), Terengganu (5,098), Pahang (5,058).
Sabah pula merekodkan 4,010 permohonan cerai manakala Wilayah Persekutuan (3,854), Negeri Sembilan (3,473), Pulau Pinang (2,978), Perlis (1,081) dan Sarawak (561).
Untuk pasangan bukan Islam, Mas Ermieyati mendedahkan ada 10,346 permohonan difailkan di seluruh negara dan Selangor sekali lagi memiliki jumlah tertinggi dengan 3,160 kes.
Kuala Lumpur kedua tertinggi dengan 2,893 kes, Perak (1,209), Johor (1,197), Negeri Sembilan (861), Melaka (449), Pahang (386), Kedah (76), Kelantan (45), Perlis (41) dan Terengganu (29).
"Bagi perceraian membabitkan pasangan bukan Islam ini puratanya kira-kira 18 kes direkodkan di seluruh negara dalam tempoh sehari,” katanya.
Ketika situasi ini agak membimbangkan, Mas Ermiyati menegaskan banyak sistem sokongan diberikan kerajaan termasuk daripada aspek mental dengan harapan rumah tangga dapat diselamatkan. — Majoriti