'Saya pakai jin vaksin'


  • Tular
  • Ahad, 17 Okt 2021

AKSESORI gelang yang dipakai Khairy menjadi bahan tuduhan netizen antivaksin kononnya menteri itu dilindungi empat jenis jin. — The Star

SELEPAS mengeluarkan peringatan tegas kepada golongan antivaksin yang masih berdegil untuk tidak menerima imunisasi Covid-19, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerima kritikan hebat di media sosial.

Selain digelar sombong kerana berani mengeluarkan kenyataan sedemikian, Khairy turut dilabel zalim oleh kumpulan antivaksin berkenaan.

Malah ada yang menabur fitnah kononnya Ahli Parlimen Rembau itu menggunakan tangkal sambil merujuk pada aksesori gelang yang dipakai pada pergelangan tangan kirinya.

Perbualan itu tular di aplikasi sembang, WhatsApp sebelum Khairy sendiri berkongsi tangkap layar tersebut di Instagram (IG) Story miliknya.

"Cuba teliti apa yang KJ (Khairy) pakai kat tangan. Macam-macam gelang atau tali ada," dakwa beberapa pengguna WhatsApp.

Dakwaan tersebut dijawab seorang pengguna WhatsApp lain yang menggunakan nama Lie dengan menyebut kononnya Khairy dilindungi empat jenis syaitan melalui tangkal gelang itu.

"KJ ada guna tangkal dekat tangan kiri. Ada empat jenis jin dan syaitan yang dia guna untuk melindungi dirinya," dakwa Lie.

Sebagai respons kepada dakwaan itu, Khairy menerusi IG Story sama menafikan tuduhan tersebut sambil memberitahu dia sebaliknya menggunakan jin vaksin.

"Salah. Saya guna empat jenis vaksin untuk melindungi Malaysia. Jin Pfizer, AstraZeneca, Sinovac dan CanSino," tulisnya pada Ahad.

Khairy sebelum ini berkata, meskipun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan 'memberi muka' kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.

“Kalau anda tidak divaksin kerana masalah kesihatan, tidak mengapa. Kita akan beri pengecualian dengan memberikan e-sijil MySejahtera tapi kalau anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, kita akan ‘menyusahkan’ hidup anda.

“Kita akan terus sukarkan hidup anda, tidak boleh makan di restoran, tidak boleh pergi ke pusat beli-belah,” katanya. — Majoriti