Negeri Sembilan rugi RM23.9 juta akibat kes jenayah


  • Primer
  • Selasa, 07 Sep 2021

ANTARA kes penipuan yang popular di Negeri Sembilan sepanjang 2019 dan 2020 adalah penipuan tidak wujud, belian dalam talian, macau scam dan love scam.

NEGERI Sembilan merekodkan sebanyak 1,590 kes jenayah komersial sejak Januari hingga Ogos lalu dengan membabitkan kerugian berjumlah RM23.9 juta, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, bagi 2019, jumlah kerugian membabitkan jenayah itu (komersial) mencatatkan RM58 juta manakala tahun lepas, kerugian keseluruhan adalah sebanyak RM96 juta dengan kes penipuan dan pecah amanah menyumbang angka tertinggi.

"Kes penipuan merekodkan angka tertinggi dengan 1,496 kes membabitkan kerugian berjumlah RM16.2 juta manakala kes kecil berkaitan pecah amanah, jenayah siber, wang palsu serta kes-kes berkaitan jenayah komersial merekodkan 94 kes membabitkan kerugian RM7.7 juta.

"Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berusaha menangani jenayah berkenaan termasuk menyebarkan kesedaran melalui media sosial dan kempen kesedaran supaya rakyat negeri ini tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ng Chin Tsai (PH-Temiang) yang ingin tahu kadar indeks jenayah komersial Negeri Sembilan mengikut jenis kategori dan langkah pencegahan yang dilakukan PDRM bagi menurunkan jenayah itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kes penipuan yang masyhur di Negeri Sembilan sepanjang 2019 dan 2020 adalah penipuan tidak wujud iaitu sebanyak 888 kes, belian dalam talian (861), macau scam (479) dan love scam (236).

Sehubungan itu, Aminuddin menasihatkan penduduk negeri ini untuk sentiasa berwaspada dengan taktik scammer atau penipu selain memastikan kesahihan maklumat dengan pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan melibatkan transaksi secara dalam talian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram