Kadar doktor pakar letak jawatan menurun


  • Primer
  • Selasa, 28 Sep 2021

SEBANYAK 948 orang doktor pakar dilaporkan meletak jawatan sejak 2016 hingga 2021. — The Star

SASARAN 28,000 pakar perubatan berkhidmat di negara ini boleh dicapai dalam tempoh sembilan tahun menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) optimis dengan sasaran itu memandangkan kadar peletakan jawatan doktor pakar semakin berkurangan sejak 2019.

Sejak 2016 sehingga 2021, dilaporkan sebanyak 948 orang doktor pakar meletak jawatan.

"Penurunan jumlah peletakan jawatan itu hasil usaha penambahbaikan untuk memastikan doktor pakar kekal berkhidmat dengan KKM.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, KKM meningkatkan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk membolehkan lebih ramai pegawai perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran mengikuti pengajian kepakaran melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baru) berhubung perkara berkenaan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambah beliau, pihak kementerian juga melaksanakan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan dan ia merupakan antara perkara yang dilakukan untuk menimbulkan minat mereka dan usaha memastikan mereka kekal bersama KKM.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang turut menjawab soalan berhubung status kemajuan projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Serian di Sarawak oleh oleh Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian).

Kata beliau, fasa pertama projek itu siap sepenuhnya 20 Julai 2017.

"Manakala kemajuan fasa dua sehingga 31 Ogos 2021 ialah 49.59 peratus dan dijadualkan siap pada Jun depan.

"Klinik kesihatan itu menawarkan perkhidmatan Klinik Pesakit Luar, Klinik Ibu dan Anak, rawatan pergigian, kecemasan, rehabilitasi, pengimejan dan perkhidmatan farmasi, " ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Dewan Rakyat, parlimen, KKM, kesihatan, klinik, projek