KPN nafi tawar ratusan kekosongan jawatan di Tabika


  • Primer
  • Ahad, 17 Okt 2021

KPN nafi tawar ratusan iklan kekosongan jawatan di Tabika. — gambar hiasan/The Star

TIADA sebarang iklan berhubung peluang mengisi ratusan kekosongan jawatan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) yang ditawarkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Perkara itu dinyatakan kementerian berkenaan bagi menafikan siaran iklan tersebut yang dimuat naik di laman sosial Facebook bertajuk Semakan Dan Permohonan Online.

Iklan itu juga tular di laman sosial dan menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan gambar Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Menurut KPN, iklan tersebut menggunakan gambar wajah dan nama Menteri Perpaduan Negara bagi memberi nilai komersial kepada iklan tersebut meskipun Kemas bukan di bawah KPN.

"Iklan itu mencetuskan tanda tanya kerana mencatatkan syarat kelayakan mengisi kekosongan jawatan tersebut terlalu rendah iaitu sekadar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

"Kelulusan akademik sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan syarat kelayakan utama bagi pengambilan Guru Tabika Perpaduan JPNIN," katanya.

KPN berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memaklumkan iklan khas mereka yang sebenarnya telah disiarkan pada 11 Oktober lepas bagi mengisi enam kekosongan jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29.

"Iklan itu turut memaklumkan peluang mengisi jawatan Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N11 yang menawarkan empat kekosongan.

"Dalam siaran iklan melalui Facebook @Rakan Perpaduan Pahang itu dengan jelas dinyatakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi iaitu calon lepasan Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institusi Pendidikan Tinggi tempatan," ujarnya.

Jelas KPN lagi, iklan ratusan kekosongan jawatan guru Tabika itu tular sejak Jumaat dan poster mengelirukan tersebut telah mencatat hampir 1,000 perkongsian menerusi laman sosial.— Majoriti

KPN, iklan, jawatan, poster, guru tabika