GOLONGAN antivaksin tidak akan terlepas daripada tindakan atas perbuatan menyebar berita palsu hingga menghadirkan ancaman kepada kesihatan awam.
Tiada istilah ‘kebal’ dikalangan golongan itu dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah pun membuat laporan polis untuk tindakan segera diambil.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di laman sosial Twitternya berkata, kementeriannya berharap tindakan susulan, siasatan dan pendakwaan dapat disegerakan.
Ciapan Khairy ketika membalas persoalan daripada Dr Sakinah Sulong di laman sosial Twitter.
“Pihak @KKMPutrajaya sudah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin. Kami harap tindakan susulan (siasatan, pendakwaan dan lain-lain) dapat disegerakan.
“Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” katanya.
Kenyataan dikeluarkan Khairy itu sebagai jawapan balas kepada pakar perubatan keluarga KKM, Dr Sakinah Sulong yang menimbulkan persoalan sama ada kelompok antivaksin di negara ini kebal daripada tindakan.
Menerusi ciapannya, Dr Sakinah menjadikan contoh bekas Presiden Umno sebagai contoh yang kini sedang berdepan pendakwaan di mahkamah.
"Mantan Perdana Menteri, Presiden UMNO pun turun naik mahkamah, tapi antivaksin ini lebih hebat lagi. Petik nama menteri sesuka hati. Tabur fitnah sana sini, No Action (tiada tindakan). Sampai bila?.
“Adakah saya saja yang merasakan kumpulan antivaksin kat Malaysia ini kebal sekebal-kebalnya?" katanya. — Majoriti