
SERAMAI 16 wanita warga asing berusia 22 hingga 35 tahun ditahan dalam satu serbuan Jabatan Imigresen di sebuah premis yang menjalankan aktiviti pelacuran di Kepong pada Khamis.
Serbuan yang dilakukan mendapati ada sindiket berkenaan cuba mengelirukan pihak berkuasa apabila aktiviti itu dijalankan di sebalik kedai mencuci kenderaan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ksesemua wanita warga asing itu terdiri daripada 13 warganegara Vietnam dan tiga dari Thailand manakala tujuh lelaki tempatan yang merupakan pelanggan dan pekerja premis turut diberikan notis supaya hadir untuk memberi keterangan.
Khairul menjelaskan, satu daripa premis yang diserbu mendapat pengusahanya menggunakan papan tanda pusat mencuci kenderaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan satu lagi.
Satu lagi premis hanya membuka separuh pintu untuk pelanggan tetap mendapatkan perkhidmatan seks dan beroperasi dari 4 petang hingga 12 tengah malam.
"Hasil pemantauan, premis itu dilihat seperti tiada sebarang aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi. Namun apabila masuk ke dalam bangunan premis ini menyajikan pelbagai hiburan serta pelayan pelanggan (GRO),” katanya dalam kenyataan.
Kesemua warga asing yang ditahan didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta melanggar Akta Imigresen.
Tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. — Majoriti