11 rider p-hailing maut di Selangor


  • 112
  • Selasa, 12 Okt 2021

PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor Nazli Md Taib (tengah) melakukan pemeriksaan ketika Operasi Khas Penguatkuasaan (Ops Merah) terhadap penunggang motosikal yang menjalankan Perkhidmatan P-Hailing

SEPANJANG lapan bulan pertama tahun ini, 11 penghantar makanan, minuman dan bungkusan bermotosikal (p-hailing) di Selangor maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Sepanjang tempoh sama, 12 kes kecederaan parah dan 65 cedera ringan turut dilaporkan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Nazli Md Taib berkata, statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati 321 kes kemalangan direkodkan membabitkan penunggang p-hailing di seluruh negara dengan 36 daripadanya kemalangan maut.

"Angka kemalangan ini amat membimbangkan, ditambah dengan aduan-aduan yang JPJ terima daripada orang awam membabitkan penunggang p-hailing. JPJ melancarkan operasi penguatkuasaan Operasi Merah (Op Merah) terhadap penunggang p-hailing di seluruh negara bermula Jumaat lepas hingga 7 Nov ini.

"Op Merah ini bertujuan mengesan penunggang p-hailing ini yang melakukan kesalahan, antaranya gagal mematuhi isyarat lampu merah, memandu melawan arus dan kesalahan berkaitan topi keledar dan kesalahan-kesalahan trafik yang lain selain melaksanakan program advokasi terhadap penunggang p-hailing ini,” katanya.

Op Merah akan membabitkan 51 anggota JPJ dan PDRM. Sebanyak 321 sama dikeluarkan JPJ Selangor membabitkan pelbagai kesalahan.

"Antaranya kesalahan tiada lesen memandu dan ini menimbulkan sedikit keraguan, bagaimana proses pengambilan kerja dilakukan oleh syarikat p-hailing.

"JPJ akan siasat perkara ini dengan lebih lanjut dan menghantar surat tunjuk sebab kepada syarikat p-hailing berkaitan perkara ini, bagaimana mereka boleh membenarkan pekerja p-hailing yang tidak mempunyai lesen yang sah melakukan penghantaran,” katanya. — Bernama

JPJ, p-hailing, op merah, operasi