ASPEK untuk memastikan pengudaraan yang baik sepanjang sesi persekolahan secara bersemuka menjadi perkara yang dibincangkan menerusi Sesi Libat Urus (SLU) di Melaka.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, SLU diadakan dalam empat sesi dan membabitkan guru sekolah rendah, menengah, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri itu.
"SLU ini menjurus kepada penjelasan dan perkongsian pandangan mengenai operasi sekolah terutama dalam aspek keselamatan dan kesihatan semasa di kelas, waktu ketibaan dan juga penyuraian selepas tamat waktu persekolahan.
"Antara aspek yang ditekankan adalah untuk memastikan pengudaraan yang baik sepanjang sesi persekolahan secara bersemuka.
“Ini amat penting bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, khususnya varian Delta,” katanya menerusi laman sosial Facebook.
Menerusi SLU, Radzi turut berkongsi cadangan yang akan dilaksanakan menerusi Konsep #sekolahKuSEJAHTERA bagi memupuk dan membudayakan amalan serta nilai murni dalam usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif serta membangunkan potensi murid daripada peringkat awal.
"Saya amat hargai segala input, cadangan serta saranan yang dikongsikan. Kami akan susuli sebaiknya," katanya. — Majoriti