Guru enggan divaksin akan dipindahkan, kata timbalan menteri


  • Primer
  • Selasa, 05 Okt 2021

SESI persekolahan sudah mula dibuka secara berperingkat bermula 3 Oktober lalu.

GURU yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan berdepan tindakan dipindahkan tempat kerja, kata Datuk Dr Mah Hang Soon.

Timbalan Menteri Pendidikan I itu berkata, keputusan itu dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka tidak terganggu.

"Guru yang enggan divaksin tanpa mendapat pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan dan menyebabkan gangguan kepada operasi sekolah akan dipindahkan.

"Tindakan untuk memindahkan guru terpaksa dilaksanakan untuk pastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid tidak tergugat," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol).

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, langkah yang diambil kementeriannya itu juga selari dengan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan semua penjawat awam mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, seramai 2,500 guru di seluruh negara enggan divaksin. — Majoriti