Sempat curi tangga ketika tunggang basikal


  • Tular
  • Jumaat, 15 Okt 2021

SUSPEK yang disyaki mencuri tangga di sebuah taman perumahan.

TATKALA rakyat negara ini teruja apabila kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri, lain pula keadaan seorang lelaki yang kesal apabila sebuah tangga miliknya dicuri di kediamannya dekat Sungai Buloh, Selangor, pada Isnin lalu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, terpapar seorang lelaki berbadan gempal yang berjalan bersama basikalnya di sebuah taman perumahan dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang.

Rakaman berdurasi 1 minit dan 53 saat itu menunjukkan, suspek meletakkan basikalnya di tepi sebelum bertindak memecah masuk bahagian belakang sebuah kediaman dan membawa pergi sebuah tangga.

Oleh kerana muka suspek jelas terpapar di CCTV itu, mangsa terus berjumpa dengannya.

Dalam satu video pertemuan dirakam oleh mangsa, suspek enggan mengaku salah memecah masuk rumahnya.

“Minta la dekat orang, kau jangan nak mencuri. Aku bukan nak pukul kau,” kata mangsa sebelum suspek berlalu pergi.

Menerusi hantaran di laman Facebook, mangsa dikenali Asyrul Anuar kesal apabila kes kecurian semakin menjadi-jadi terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rumah saya kena ambil tangga dengan dia. Dia suka siar-siar naik basikal area Merbau atau Kubu Gajah atau Aman Putri. Hati-hati ya semua,” katanya.

Difahamkan, suspek telah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu. — Majoriti

curi, tangga, taman perumahan