Ikut bumbung tandas, habis tabung simen surau kena pecah


  • Tular
  • Selasa, 05 Okt 2021

TABUNG yang dipecahkan mengotori karpet surau.

KES jenayah di negara ini semakin menjadi-jadi meskipun beberapa sektor ekonomi dibuka secara berperingkat, manakala tiada negeri yang masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pembukaan sektor ekonomi sekali gus mengurangkan kadar penggangguran di negara ini, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 tahun lepas.

Namun, ia tidak menghalang penjenayah daripada melaksanakan ‘tugas’ mereka tidak mengira tempat termasuk tempat suci umat Islam.

Terbaharu, tular sebuah video memaparkan sebuah tabung simen dipecahkan dan pelakunya turut mengotori karpet di sebuah surau di Kampung Batu Hitam, dekat Kuantan, Pahang.

Perakam video berdurasi 38 saat yang dikongsi di laman Facebook itu berkata, penjenayah memecah masuk surau berkenaan melalui bumbung tandas berdekatan tempat solat wanita.

“Ini melampau, ini di surau Kampung Batu Hitam. Habis sampai macam ini dia bekerja.

“Bukanlah banyak duit dalam tu (tabung). Tadika sebelah pun dia masuk juga,” katanya kesal.

Tiada maklumat lanjut mengenai jumlah wang yang hilang di dalam tabung berkenaan.

Terdahulu, polis menahan seorang wanita disyaki terbabit dalam kejadian melarikan tabung derma masjid di Padang Pauh, Padang Besar, Perlis pada 28 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, penahanan suspek berusia 28 tahun dilakukan pada 29 Ogos lalu, di kediaman wanita berkenaan di Arau sekitar jam 9.15 malam.

"Kecurian tabung masjid berkenaan dilaporkan jam 9.15 malam pada 28 Ogos lalu, selepas ahli kariah masjid yang selesai bersolat Isyak mendapati satu tabung kayu yang diletakkan di tepi pintu masjid sudah tiada dan terus memaklumkan pada ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan.

"Pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang individu disyaki wanita mengambil dan membawa pergi tabung berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tabung, surau, pecah