Dewan Rakyat tolak usul bahas pendedahan Kertas Pandora


  • Primer
  • Rabu, 06 Okt 2021

AZHAR berkata,usul Kertas Pandora tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan mengetepikan urusan-urusan yang telah ditetapkan Aturan Urusan Mesyuarat. —The Star

USUL untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora yang didakwa membabitkan fail kewangan sulit beberapa pemimpin negara ditolak Dewan Rakyat pada Rabu.

Usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ditolak Yang Dipetua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, atas alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang telah ditetapkan Aturan Urusan Mesyuarat.

Azhar sebaliknya mencadangkan, agar perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan untuk penelitian lanjut, dengan tempoh yang lebih lama berbanding ia dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

"Saya bersetuju dengan Yang Berhormat (Anwar) bahawa perkara itu (Kertas Pandora) menepati elemen ia suatu perkara tertentu, ia perkara berkepentingan awam dan ia perkara penting yang perlu disiasat.

"Tetapi saya mendapati ia (usul) tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat persidangan kita ini didahulukan dengan Aturan Urusan Mesyuarat dan jika hendak ditepikan, maka sesuatu perkara yang hendak dibawa itu (usul) mestilah perlu disegerakan.

"Pada pendapat saya, kita ada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen termasuk bidang ekonomi yang merangkumi MOF (Kementerian Kewangan) dan saya rasa lebih sesuai jika perkara ini dibawa ke jawatankuasa pilihan khas tersebut untuk didalami dengan lebih teliti dengan masa lebih panjang, oleh itu saya terpaksa menolak usul Yang Berhormat,” katanya.

Terdahulu, Anwar meminta untuk menyegerakan usul membahaskan pendedahan Kertas Pandora. Pemberitahuan bersurat memohon mengemukakan usul itu dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 4 Oktober.

Dalam usulnya, ketua pembangkang itu meminta dewan yang bersidang membincangkan laporan Kertas Pandora yang mendedahkan kemungkinan transaksi kewangan, yang menyalahi undang-undang negara disebut melibatkan beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Azhar menjelaskan, terdapat kekangan peraturan untuk membincangkan isu itu kerana pendedahan Kertas Pandora itu adalah daripada laporan media berdasarkan kebocoran maklumat daripada berapa agensi.

"Dalam Peraturan 23 (1) (i) menjelaskan bahawa; sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan berkenaan dengan betul atau tidaknya penerangan-penerangan dalam surat khabar atau penerangan-penerangan yang dikeluarkan oleh seseorang bagi dirinya sendiri atau penerangan badan-badan kewangan.

"Dan jika saya baca peraturan ini bersekali dengan 18 (7) (c), itu pun satu kekangan peraturan... saya akui perkara (usul) ini penting... saya syor Yang Berhormat ambil prosedur lain dalam perkara ini. Jadi saya rasa cadangan (rujuk jawatankuasa pemilihan khas) itu lebih efektif daripada kita kena ketepikan Aturan Urusan Mesyuarat membincangkannya” katanya.

Peraturan 18 (7) (c) menyatakan apa-apa usul melanggar mana-mana syarat dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat. —Bernama

Kertas Pandora, Dewan Rakyat, Art Harun