AirAsia Aviation 'nafas baharu' AirAsia


  • Bizz
  • Jumaat, 15 Okt 2021

PERUBAHAN struktur ini membantu memacu pertumbuhan kumpulan yang semakin kukuh dalam kedua-dua perniagaan syarikat penerbangan dan digital.

SEIRING dengan transformasi dari syarikat penerbangan ke kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital, AirAsia Group, AirAsia Investment Ltd kini dikenali AirAsia Aviation Limited.

AirAsia Group Bhd (AAGB) adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan untuk lapan syarikat dengan portfolio digital yang memanfaatkan data dan teknologi untuk memberi nilai terbaik dengan kos terendah kepada pengguna.

Portfolio AAGB membabitkan AirAsia Aviation, AirAsia Super App, cabang kargo dan logistik Teleport, perkhidmatan kewangan BigPay, cabang teknologi pendidikan airasia academy, syarikat kejuruteraan Asia Digital Engineering, perkhidmatan darat GTR, rangkaian restoran dan kumpulan makanan iaitu Santan.

Bekas Presiden (Penerbangan) AirAsia Group, Bo Lingam kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited yang akan menyelia empat syarikat penerbangan AirAsia Group iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Thailand dan AirAsia Indonesia.

“Entiti AirAsia Aviation Limited memegang pelaburan syarikat penerbangan kami dan membuka lebih banyak peluang untuk menubuhkan syarikat penerbangan baharu apabila tiba masanya.

"Kami juga baru sahaja mewujudkan bahagian Perundingan AirAsia yang bertujuan untuk mengkaji kerjasama syarikat penerbangan dan peluang francais," katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, AirAsia mengendalikan lebih 60 penerbangan sehari ke destinasi percutian utama di Malaysia dan jumlah itu mungkin akan ditambah mengikut permintaan pelanggan.

Bo Lingam juga berharap untuk melihat pembukaan sempadan antarabangsa bagi terus menawarkan perkhidmatan kepada pengguna.

“Kami berharap untuk melihat pembukaan sempadan antarabangsa tidak lama lagi. Kami akan terus mengkaji pasaran baharu untuk beroperasi pada masa akan datang, seperti Kemboja,” katanya. — Majoriti