SASC-FCA Capital sasar pembangunan dan penubuhan model perbankan wakaf digital


  • Bizz
  • Khamis, 14 Okt 2021

SASC percaya bahawa perbankan digital Islam yang berkonsepkan wakaf akan memainkan peranan yang penting dalam membantu pelan pemulihan ekonomi negara.

PENINGKATAN permintaan untuk perkhidmatan kewangan syariah dalam ekosistem teknologi kewangan (fintech) Islamik membwa kepada jalinan usahasama antara Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (SASC) dan FCA Capital Sdn Bhd.

Usahasama itu terjalin menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak pada Khamis.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif SASC, Khairul Nisa Ismail yang turut memberitahu peningkatan itu susulan banyak institusi yang sedang mencari pembiayaan telus dan beretika untuk melindungi pelaburan mereka.

Katanya, dengan keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini membuka ruang buat perkhidmatan patuh syariah berpeuang untuk berkembang dengan lebih pesat.

"Situasi pasaran ini membuka peluang strategik bagi SASC untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu penyedia fintech Islam utama di rantau ini.

"Permintaan yang semakin meningkat ini dijangka akan berterusan ekoran perubahan sentimen pengguna dalam urusan perbankan digital ketika pandemik global Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, berdasarkan laporan oleh S&P Global Ratings, industri kewangan patuh syariah diramalkan berkembang sebanyak 40 peratus menjelang 2024.

Katanya lagi, keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pada suku tahun pertama 2022.

Jelas Khairul Nisa lagi, pihaknya yakin FCA akan memainkan peranan utama sebagai perintis dalam pembangunan dan penubuhan model perbankan wakaf digital di rantau ini.

Katanya lagi, ia sekali gus memperluaskan potensi ekonomi yang berasaskan wakaf.

"Kami percaya bahawa perbankan digital Islam yang berkonsepkan wakaf akan memainkan peranan yang penting dalam membantu pelan pemulihan ekonomi negara melalui model inklusif dengan servis yang ditawarkan bank.

"FCA yang mempunyai lesen Suruhanjaya Sekuriti berperanan membantu syarikat dalam memberikan panduan korporat terutamanya hal-hal berkaitan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan syarikat, serta penasihat dan pengurusan projek," ujarnya.

Hurainya lagi, menerusi gabungan platform As-Sidq yang bertaraf antarabangsa serta kepakaran SASC dalam industri, MoU tersebut akan membantu kepada peningkatan ekosistem fintech Islam di negara Malaysia.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pengarah SASC, Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah berkata, kerjasama dengan FCA Capital mengesahkan lagi kemampuan dan kekuatan SASC dalam industri melalui penggunaan teknologi digital yang akan membantu sektor kewangan Islamik berasaskan syariah di Malaysia.

"Perkhidmatan fintech patuh syariah telah berkembang dengan pesat, dan saya yakin SASC akan turut menyumbang dengan memainkan peranan penting dalam ekosistem fintech Islam," jelasnya.

SASC berkhidmat kepada lebih daripada 70 buah institusi kewangan dan jumlah pinjaman yang diproses setakat ini adalah lebih daripada RM60 bilion, sekaligus mencatatkan kenaikan permintaan untuk pelaksanaan digital dalam perkhidmatan kewangan Islam.

FCA Capital pula bertindak sebagai penasihat kewangan kepada sebuah konsortium yang juga adalah salah sebuah entiti yang telah menghantar bidaan perbankan digital yang ditawarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). — Majoriti

SASC, FCA Capital, MoU, Fintech, Kewangan Syariah