Suami gila harta didapati bersalah bunuh isteri dengan ular berbisa


  • Benua
  • Khamis, 14 Okt 2021

TERTUDUH didakwa mengupah dua ekor ular tedung melalui seorang pengendali reptilia berbisa itu untuk membunuh isterinya. — Agensi

SEORANG lelaki di Kerala, India didapati bersalah kerana membunuh isterinya dengan menggunakan ular tedung dalam kejadian pada Mei tahun lalu.

The Independent melaporkan, keputusan pengadilan mahkamah di wilayah Kollam mendapati tertuduh, Sooraj, 28, bersalah dalam sidang mahkamah pada Isnin.

Sooraj didakwa mengupah dua ekor ular tedung melalui seorang pengendali reptilia berbisa itu untuk membunuh isterinya dikenali sebagai Uthra sebanyak dua kali dalam tempoh beberapa bulan.

Pada Mac tahun lalu, tertuduh menggunakan ular spesies Russell's viper yang amat berbisa untuk membunuh isterinya, namun mangsa hanya cedera dan menerima rawatan selama dua bulan.

"Ketika mangsa masih beransur pulih di rumah ibu bapanya, Sooraj mendapatkan ular tedung pula daripada pengendali ular dan melemparkannya ke atas isterinya yang sedang tidur.

"Mereka membawanya ke hospital, namun doktor memaklumkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Bagaimanapun, ibu bapa Uthra mula curiga apabila Sooraj cuba mendapatkan hak milik harta milik isterinya hanya beberapa hari selepas kematian mangsa.

Polis berkata, kes tersebut terungkai setelah ibu bapa Uthra mengesyaki Sooraj hendak membolot harta isterinya.

"Beberapa hari selepas kematian Uthra, Sooraj bertanyakan harta si mati kerana Uthra berasal daripada keluarga kaya manakala Sooraj hanya bekerja di sebuah bank swasta.

"Motif pembunuhan adalah kerana harta. Meskipun Sooraj menerima sejumlah wang dan emas sebagai hantaran kahwin, namun dia tidak berpuas hati," katanya. — Agensi