Penganggur didakwa bunuh ibu bapa berdepan hukuman mati


TERTUDUH didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
SEORANG penganggur berusia 31 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Lipis, Pahang pada Khamis atas dua pertuduhan membunuh ibu bapanya pada 4 Oktober lalu bakal berdepan hukuman mati.

Tertuduh, Ahmad Hafizuddin Mohammad, yang menetap di Kampung Kemahang, Benta kelihatan tenang dan menganggukkan kepalanya tanda faham selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Hafizuddin didakwa telah membunuh bapanya, Mohammad Maasai, 68, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kemahang, Benta antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada 4 Oktober lalu.

Ahmad Hafizuddin turut didakwa membunuh ibunya, Zailan Zainudin, 64, di rumah serupa antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam, pada hari yang sama.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. — Sinar Harian