CUBAAN seorang pemandu bas persiaran untuk menyeludup 150 kilogram daun ketum gagal setelah dia ditahan polis pada malam Jumaat.
Dalam kejadian pada jam 11.30 malam, pemandu berusia 46 tahun itu sedang mengisi daun ketum terbabit yang disorok dalam lapan beg ke dalam sebuah bas, di Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @Abdul Rahim berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama anggota dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Kedah.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam ruang simpanan barang di bawah bas persiaran itu menemui 626 plastik yang mengandungi daun ketum.
Pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik lutsinar di mana di dalamnya berisi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 1.60 gram dan satu paket dadah jenis heroin seberat 14 gram.
Anuar berkata, berikutan itu, polis turut menahan seorang wanita berusia 37 tahun untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 39A (2) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) ADB 1952. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram