Bahaya ambil Ivermectin tanpa nasihat doktor


  • Tular
  • Selasa, 07 Sep 2021

TANGKAP layar tindakan pesakit itu tanpa saranan doktor.— Twitter

SEORANG doktor meluahkan rasa kesal terhadap tindakan seorang pesakit Covid-19 yang berada di bawah pemantauannya kerana secara diam-diam mengambil ubat antiparasit Ivermectin tanpa saranan pihaknya.

Pemilik akaun Twitter itu, Luqman Hakim berkongsi taktik pesakit tersebut yang menyembunyikan ubat itu menggunakan bekas kapsul vitamin C bagi mengelakkan daripada pengetahuan pihak hospital.

"Kisah benar di wad saya. Pesakit seludup Ivermectin masuk dalam botol vitamin C dan makan setiap hari.

"Sekarang pesakit itu telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan ditidurkan," katanya.

Pada masa sama, Luqman Hakim mengingatkan orang ramai agar tidak menipu dan mengambil Ivermectin tanpa nasihat pakar kerana ia boleh mengakibatkan tahap kesihatan pesakit menjadi lebih parah.

"Tolong jangan menipu. Ia tidak selamat dan membahayakan nyawa sendiri," katanya.

Hantaran tersebut telah mendapat perhatian ramai dan pelbagai reaksi daripada pengguna Twitter.

"Orang seperti ini tidak akan percaya sains perubatan tapi lebih percaya kepada maklumat dari WhatsApp. Bila sudah rasa tidak mampu bernafas, barulah berkejar untuk dapatkan rawatan dari doktor yang berpandukan sains perubatan," kata pemegang akaun @AzeriXfy. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram