Masalah air jadi endemik selagi PH perintah Selangor


  • Politik
  • Rabu, 13 Okt 2021

ISHAM berkata, selama tiga penggal kerajaan PH memerintah, masalah ketiadaan air di negeri itu masih berlaku. — The Star

MASALAH air akan berterusan menjadi endemik selagi negeri Selangor diperintah oleh Pakatan Harapan (PH), kata Isham Jalil.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata, selama tiga penggal kerajaan PH memerintah, masalah ketiadaan air di negeri itu masih berlaku.

“Alasan demi alasan diberikan termasuk kononnnya penyelenggaraan, paip pecah, keracunan, pencemaran sungai dan sebagainya.

“Di seluruh dunia pun penyelenggaraan infrastruktur air kerap berlaku, tetapi ia tidaklah kerap mengakibatkan terputusnya bekalan air di kawasan yang besar seperti di Selangor selama berhari-hari dan ada masanya berminggu-minggu,” katanya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Isham berkata, penyokong tegar PH mungkin boleh menerima masalah ketiadaan air serta alasan-alasan yang diberikan.

Namun, katanya, rata-rata rakyat sengsara dengan perkara itu dan mahu ia diselesaikan.

“Jika Selangor ingin betul-betul jadi maju, perkara asas seperti ini perlu dibetulkan dahulu,” katanya.

Penduduk di Selangor mengalami gangguan bekalan air bermula Rabu disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan oleh Air Selangor.

Pada masa sama, kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) adalah pada tahap 83.9 peratus dan mengikut jadual setakat jam 5 petang Rabu.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri memaklumkan, kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal itu dijangka siap sepenuhnya pada jam 11 malam Rabu.

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat setelah sistem bekalan air telah distabilkan, dan dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam, 16 Oktober ini,” katanya. — Majoriti

Isham Jalil, Air Selangor, air