'Bau hangit ketika solat Maghrib'


  • 112
  • Rabu, 22 Sep 2021

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran dalam kejadian di Pontian, Johor.

MESKIPUN rumah yang didiami musnah akibat kebakaran di Jalan Sangkar 2 Kecil, Kampung Parit Baran, Ayer Baloi, Pontian, Johor malam Selasa, kejadian itu tidak menjejaskan nyawa lima penghuninya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Azhar Abdul Jalil, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.16 malam.

Katanya, pihaknya menggunakan dua jentera bersama tujuh anggota dengan dibantu 10 anggota dari BBP Pontian Baru yang diketuai Komander Operasi Mahadir Mamat serta tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Benut.

Azhar berkata, kebakaran itu membabitkan sebuah rumah kediaman struktur separuh kekal berkeluasan 80 panjang dan 50 lebar.

"Terdapat lima penghuni ketika kejadian dan mereka terselamat, manakala kediaman terbabit musnah terbakar 90 peratus.

"Operasi tamat pada jam 8. 53 malam, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan, " katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, seorang penghuni rumah berkenaan Alazri Abdullah, 16, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang solat Mahgrib berjemaah.

"Ketika takbir rakaat kedua, pelbagai bunyi kuat kedengaran diikuti bau hangit daripada asap yang menyelubungi ruang kediaman.

"Kami serentak keluar dari rumah kerana api menjulang dari pelbagai arah. Alhamdulillah, semua ahli keluarga terselamat, namun semua barangan isi dalam rumah musnah dalam kebakaran, " kata anak bongsu dari lima beradik itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rumah terbakar, keluarga, selamat