PERSEDIAAN dan keperluan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya akan dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Khamis ini.
Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan membentangkan keadaan semasa sebagai persediaan jika PRN Melaka terpaksa diadakan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MKT Khamis ini akan diadakan bagi membincangkan perkara khusus mengenai politik di Melaka.
“Tentunya presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberikan pandangan apa yang kita akan lakukan di negeri Melaka ini,” katanya.
Ahmad menjelaskan, segala keputusan mengenai pelaksaan PRN hanya akan ditentukan oleh Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.
Apa juga keputusan berkaitan PRN adalah diluar kuasa Umno dan Ahmad menegaskan persiapan wajar dilakukan bermula sekarang.
“Tentulah tajuk utamanya PRN Melaka sama ada PRN itu cepat atau lambat, itu keputusan Sultan Nazrin samada berlaku lambat atau cepat, ada darurat atau tidak itu bukan lagi di bawah pertimbangan kami.
“Walau bagaimanapun persiapan hadapi PRN tetap perlu dibuat segera,” katanya. — Astro Awani