APABILA berbicara tentang bola sepak, ramai yang mula melihat karier itu menjanjikan gaji lumayan dan mampu hidup serba mewah.
Tidak dapat dinafikan yang era bola sepak moden masa kini sudah menjadi satu industri besar dan segalanya akan berkait rapat dengan soal wang.
Ketika ini, jika berbicara tentang gaji, tidak dapat lari yang Liga Malaysia (Liga M) berada di satu tahap lebih tinggi berbanding liga negara jiran lain.
Bagi pasukan yang benar-benar mampu, ia mungkin bukan satu masalah besar untuk mendapatkan pemain mahal namun situasi sekarang ada juga pasukan ‘tidak sedar diri’ berbelanja di luar kemampuan.
Tidak hairanlah juga Malaysia sering dihimpit dengan isu tunggakan gaji yang seakan tiada penghujungnya.
Berbicara tentang situasi ini, pasti akan timbul dua pendapat berbeza, pemain memang berhak dan ada juga yang merasakan gaji tinggi mematikan bola sepak hingga ada yang mahu harga siling dibuat.
Mungkin ada yang merasakan pendapatan yang diraih terlalu tinggi jika dibandingkan dengan prestasi semasa khususnya apabila bermain di pentas antarabangsa.
Tidak kurang juga ada yang mencadangkan pendapatan pemain tidak boleh ditentukan berdasaran gaji pokok tetapi perlu menjurus kepada bonus.
Cadangan ini dilihat sebagai relevan kerana secara tidak langsung ia dapat membangkitkan pemain untuk tampil lebih baik bagi mendapatkan lebih banyak bonus.
Kesimpulannya, soal gaji sentiasa menjadi topik hangat untuk diperkatakan tetapi harus diingat soal berapa jumlah bayaran diterima terlalu privasi untuk dibincangkan secara terbuka.
Untuk hak pemain, mereka sebenarnya berhak untuk mendapat apa yang ditawarkan dan dalam masa sama, bantulah diri untuk tampil lebih baik.
Selamanya Harimau Malaya! — Majoriti