PANEL Jawatankuasa Siasatan Dalaman akan mendengar pendedahan bukti utama kes kontroversi jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli daripada Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R Subramaniam pada Selasa.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, bukti e-mel dan borang permohonan televisyen litar tertutup (CCTV) adalah antara bukti yang akan dikemukakan oleh Subramaniam.
"Datuk Subra (Subramaniam) akan mengemukakan (bukti) emel, borang permohonan CCTV pada esok (Selasa).
"Ia akan dimaklumkan kepada panel kerana e-mel itu beralamat kepada beliau sebagai setiausaha agung MPM, jadi dia akan menjawab mengenai perkara itu," kata Megat pada Isnin.
Beliau juga yakin hasil siasatan lengkap bakal diperoleh pada minggu ini dan menyerahkan kepada kebijaksanaan panel siasatan untuk menilai punca utama insiden berkenaan.
Jawatankuasa dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah itu menyenaraikan 10 individu yang akan dipanggil termasuk Ziyad, Megat, Subramaniam, ketua jurulatih olahraga para negara, R Jaganathan dan jurulatih, Mohd Faizol Harun dengan skop siasatan menjurus kepada mencari punca sebenar atlet berkenaan dikatakan lewat tiba di bilik menunggu.
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan adalah bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil.
Susulan insiden berkenaan, Ziyad dinafikan pingat emas selain rekod dunia baharu 17.94 meter (m) dilakukannya di Tokyo turut dibatalkan susulan protes dilakukan Ukraine yang mendakwa atlet berkenaan lewat tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan pada 31 Ogos lalu. — Majoriti