BAGI membantu dan mengurangkan beban pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan inisiatif Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin.
Program tersebut memberi fokus kepada golongan pelajar kategori B40, Orang Kelainan Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli dan mereka yang ditimpa musibah.
Ujar Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, program yang mendapat kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan universiti awam (UA) itu, turut memupuk semangat kesukarelawan yang tinggi selain memperkasa kebajikan dalam kalangan warga IPT serta KPT.
"Ia merupakan usaha KPT untuk menyantuni pelajar dan warga IPT di seluruh negara dan hari ini, kita melawat 22 rumah pelajar di sekitar Batu Pahat, Johor untuk memberi sumbangan dan menyerahkan Surat Tawaran Kemasukan Sesi 2021/2022.
"Selain itu, kita turut menyerahkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) daripada PTPTN, Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan biasiswa yang meliputi elaun wang saku, yuran pengajian, yuran penginapan dan tambang penerbangan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Noraini menyempurnakan Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin di sekitar Batu Pahat, Johor.
Antara UA terlibat dalam program tersebut ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Tambah Noraini, terdapat juga UA yang menyumbang peralatan pembelajaran seperti komputer riba bagi kegunaan pelajar pada program terbabit, malah ada pelajar turut menerima Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) daripada Yayasan Tenaga Nasional (YTN).
"Kerajaan sentiasa komited untuk membantu menyelesaikan serta menangani isu-isu pendidikan secara holistik melalui pendekatan dan strategi yang berkesan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram