MDEC lancar 4ICG bernilai RM2 juta


  • Bizz
  • Rabu, 13 Okt 2021

GOPI Ganesalingam berkata, 4ICG diperkenalkan untuk meningkatkan produktiviti, kualiti produk dan kualiti kehidupan. —The Star

BAGI menyokong pengembangan syarikat teknologi yang berpusat di Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melancarkan Geran Pemangkin 4IR (4ICG).

Agensi peneraju ekonomi digital itu menjelaskan, 4ICG direka untuk memangkinkan penggunaan dan pembangunan teknologi 4IR menjadi bidang perniagaan utama seperti yang ditetapkan dalam Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

“Geran berkenaan akan digunakan untuk penciptaan bersama, penyelesai masalah dan pengkomersialan penyelesaian 4IR sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ketua Pegawai Industri Digital MDEC, Gopi Ganesalingam berkata, 4ICG diperkenalkan untuk meningkatkan produktiviti, kualiti produk dan kualiti kehidupan, selain memelihara ekologi integriti dalam 10 sektor ekonomi utama dan enam sektor sokongan kepada ekonomi Malaysia seperti ditetapkan dalam Dasar 4IR nasional.

Beliau berkata, kebolehlihatan syarikat teknologi yang berpusat di Malaysia, pertumbuhan pendapatan serta eksport oleh syarikat teknologi 4IR yang berpusat di Malaysia akan dapat dilonjakkan menerusi pemberian geran ini.

“Ia merupakan tambahan kepada usaha mencapai matlamat dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di bawah inisiatif MyDIGITAL, untuk mentransformasikan negara ke arah dipacu digital, negara berpendapatan tinggi dan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” katanya dalam kenyataan yang sama.

MDEC menambah, sektor utama yang dikenal pasti untuk penerimaan geran ini ialah dagangan borong dan runcit; pengangkutan dan logistik; pelancongan; kewangan dan insurans; kesihatan; pertanian dan pendidikan.

Sektor sokongan pula merangkumi pembinaan; hartanah; perlombongan dan kuari; perkhidmatan maklumat dan komunikasi; kesenian; hiburan serta pentadbiran dan perkhidmatan sokongan, jelasnya.

Menurut MDEC, penerima tempatan yang berjaya akan diberikan dana sehingga 50 peratus daripada kos projek, tertakluk kepada had siling RM2 juta atau mana lebih rendah.

Syarikat milik asing yang terpilih pula akan diberikan dana sehingga 30 peratus daripada kos projek, tertakluk kepada had siling RM2 juta atau mana lebih rendah, jelasnya.

MDEC menjelaskan, penerima geran juga akan menyertai program GAIN MDEC dan menerima manfaat dari segi akses pasaran, padanan perniagaan, kemudahan pembiayaan dan peluang bimbingan selain memperoleh keuntungan daripada peningkatan pendapatan dan eksport, peningkatan kemahiran dan melonjakkan peluang untuk menerima pelaburan.

MDEC menyasarkan sehingga 20 pemohon dengan tempoh pendanaan bagi jangka masa projek sehingga setahun.

Permohonan baharu untuk 4ICG kini dibuka dan mereka yang berminat boleh menyemak kriteria kelayakan dan mendaftar menerusi https://gainmdec.awardsplatform.com/dashboard

Tarikh tutup permohonan pada November dengan proses penilaian dan kelulusan akan dibuat pada Disember, jelas MDEC.

Pemohon yang berjaya memenuhi syarat berkenaan boleh memohon pembayaran mobilisasi tidak melebihi 20 peratus daripada jumlah geran setelah menandatangani surat tawaran yang dikeluarkan oleh MDEC.

Layari https://mdec.my/4icg untuk mendapatkan maklumat lanjut. — Majoriti

MDEC, 4ICG, 4IR