KONSEP Keluarga Malaysia umpama 'penyejuk' dalam mencari kesamaan dan penyatuan rakyat untuk bangkit memulihkan negara yang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi yang amat mencabar sejak pandemik Covid-19 yang berasal dari Wuhan, China, tiba di negara ini pada awal tahun lepas.
Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan pendekatan yang mudah diterima kerana mengetengahkan unsur kekeluargaan yang sangat dekat di hati rakyat.
Gabungan nilai dan ciri yang terangkum di dalamnya sama seperti pembentukan sebuah keluarga dengan menerapkan nilai-nilai murni, kebersamaan, berkasih sayang serta saling menghormati antara satu sama lain.
"Pendekatan ini juga selari dengan akhlak seseorang manusia dan ia sangat penting sebagai asas institusi sosial, sekali gus perlu diterapkan dalam keluarga dan masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan etnik,’’ katanya.
Tambah beliau, usaha ke arah pemulihan dengan merapatkan jurang ekonomi selain menyatukan rakyat tanpa melihat perbezaan politik, khususnya di saat negara sedang beralih ke fasa endemik ketika ini akan menjadi faktor pendorong bagi merealisasikan kejayaan pendekatan konsep Keluarga Malaysia.
Katanya, ini secara tidak langsung akan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih harmoni apabila tumpuan diberikan kepada isu-isu penting berkenaan.
"Tiga bidang utama ini merupakan sisi penting untuk keluar daripada krisis yang sedang dihadapi negara ketika ini apabila seluruh rakyat di negara ini digambarkan sebagai satu keluarga.
"Contohnya ekonomi, untuk pembentukan keluarga aspek ini sangat penting... begitu juga dalam ‘Keluarga Malaysia’ yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, jurang ekonomi itu sangat perlu diperbaiki.
"Sama juga halnya aspek politik, yang mana kita perlu meraikan perbezaan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ kerana tidak semua dalam keluarga kita berpegang pada fahaman politik sama, jadi kita kena menghormati perkara seperti itu kerana ia merupakan hak masing-masing," katanya.
Penggemblengan lima prinsip dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan dalam konsep Keluarga Malaysia pula bagaikan tiang seri sebuah rumah, yang akan menjadikan rakyat negara ini lebih ampuh semasa mendepani cabaran, sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga majmuk.
USAHA ke arah pemulihan dengan merapatkan jurang ekonomi akan menjadi faktor pendorong bagi merealisasikan kejayaan pendekatan konsep Keluarga Malaysia.
Sementara itu, pensyarah di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azman Awang Pawi berkata, konsep tersebut yang berteraskan kekeluargaan akan mewujudkan rasa dilindungi, prihatin dan memupuk kesejahteraan dalam kalangan rakyat.
"Keluarga Malaysia juga menerapkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam konteks sokongan dari segi sebuah kasih sayang merentasi etnik dan agama.
"Justeru itu, sifat atau trend global kekeluargaan yang dilihat semakin mengecil dan mementingkan diri perlu dihindari bagi memastikan keluarga besar Malaysia terus makmur dan utuh," katanya.
Beliau berkata, hala tuju strategik Keluarga Malaysia yang bertumpu pada pemulihan negara turut memperlihat kerjasama rakyat Malaysia yang bersatu hati dalam segala aspek termasuk kesihatan, pengawalan jangkitan dan ekonomi yang terkesan oleh penularan pandemik Covid-19.
"Kita nampak rakyat tidak mengira kaum berganding bahu untuk memulihkan impak negatif kesan Covid-19, keadaan ini juga secara tidak langsung mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini," katanya. — Bernama