KERAJAAN harus melihat semula kadar kenaikan gaji minimum terutamanya buat golongan graduan.
Cadangan itu patut diperhalusi oleh pihak kerajaan kerana kadar yang diperolehi masih tidak setimpal dengan kos sara hidup yang makin meningkat.
Senator, Dr Yaakob Sapari berkata, kos sara hidup menunjukkan peningkatan 400 hingga 600 peratus, sedangkan kadar kenaikan gaji tidak melebihi 100 atau 150 peratus.
"RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12) juga masih memfokuskan membantu golongan miskin dan rancangan menjadikan negara berpendapatan tinggi, tetapi malangnya kadar upah yang diberi tidak setimpal dengan apa yang diusahakan.
"Bayangkan saya graduan universiti tahun 1985, ketika itu kawan-kawan saya yang kerja kerajaan gajinya RM1,060 campur elaun RM1,200.
“Kini (selepas hampir) 40 tahun, graduan universiti ada dibayar gaji di bawah RM2,000, maknanya graduan universiti bekerja di bawah paras kemiskinan,” katanya ketika sesi perbahasan RMK12 di Dewan Negara.
Dr Yaakob juga merasakan faktor kadar upah rendah turut mendorong anak muda berpindah dan bekerja di negara lain terutamanya di negara yang memiliki knilai mata wang lebih tinggi.
"Sebelum pandemik Covid-19, sekitar 300,000 pekerja Malaysia menyeberang Tambak Johor untuk bekerja di Singapura kerana gaji di sana lebih tinggi dan nilai mata wangnya lebih tinggi. Sebab itulah usaha untuk menaikkan kadar gaji minimum ini perlu dilihat semula,” katanya.
Sementara itu, Senator Datuk A Kesavadas pada perbahasan sama berkata, pemadanan profesional menjadi elemen terpenting untuk menjayakan fokus kelima iaitu membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.
Kesavadas menjelaskan masih ramai anak muda yang memiliki pendidikan tinggi masih belum mendapat pekerjaan bersesuaian mengikut kelayakan akademik atau pun kemahiran dimiliki.
"Sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk membangunkan ekonomi rakyat untuk tempoh lima tahun mendatang, ‘expect right job for the right man’.
“Perkara ini perlu diberi fokus agar kualiti sektor ekonomi di negara mampu dilestarikan sejajar hasrat kerajaan memperkasakan agenda Keluarga Malaysia,” katanya. — Bernama