Kajian semula persempadanan pilihan raya ikut keadaan, kata menteri


  • Primer
  • Selasa, 12 Okt 2021

SEKIRANYA SPR memulakan kajian persempanan semula, ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun
SEGALA hal membabitkan urusan kajian semula persempanan bahagian pilihan raya bermula mengikut keadaan.

Ini termasuk tamat tempoh tidak kurang selang lapan tahun daripada tarikh siap urusan kajian semula sebelumnya dan pindaan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi kuasa untuk melaksanakan kajian semula sempadan setiap bahagian pilihan raya.

Dalam pada itu, ia juga terbelah kepada tiga unit mengikut undang-undang Fasal (6) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Unit Negeri Sabah dan Unit Negeri Sarawak.

"Jika ia berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan kajian persempadanan semula setelah tamat tempoh tidak kurang lat lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya.

"Namun sekiranya SPR memulakan urusan itu, ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Sarawak akan berakhir pada 2023, Sabah pada 2025 manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada 2026.

Ini akan membabitkan pindaan undang-undang dan apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, SPR perlu laksanakan urusan kajian persempadanan semula dalam tempoh dua tahun dari tarikh pindaan undang-undang berkuat kuasa, tidak kira menambah atau mengurangkan kerusi dewan atau pewujudan wilayah baharu.

Wan Junaidi menjelaskan setiap bahagian adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi dan tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan bahagian lain. — Bernama

Wan Junaidi, Parlimen, SPR, pemilih, pilihan raya