89 peratus pelajar tajaan MARA golongan B40


  • Primer
  • Selasa, 12 Okt 2021

MAHDZIR menafikan dakwaan tajaan MARA lebih mengutamakan pelajar dari keluarga T20. — Bernama

SEBANYAK 89 peratus pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan golongan B40 yang mempunyai minda kelas pertama dan bertaraf global, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sehingga 30 September 2021, Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, MARA telah menaja seramai 50,555 pelajar merangkumi 44,994 atau 89 peratus daripadanya adalah golongan B40.

Katanya, daripada jumlah itu juga, 5,5055 atau 10 peratus adalah daripada golongan M40 dan 506 orang atau satu peratus daripada golongan T20.

“MARA sejak dahulu lagi mengamalkan dasar yang memberi keutamaan kepada golongan B40 dan penduduk luar bandar bagi akses kepada pendidikan yang lebih baik.

“Melalui program penganjuran pelajaran MARA ini, ia merupakan strategi serampang dua mata yang bukan sekadar memberi tumpuan dan peluang kepada pelajar miskin dan luar bandar, tetapi turut menjamin keperluan guna tenaga dan modal insan negara dapat dipenuhi selaras dengan perkembangan teknologi dan industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, pelaksanaan dasar itu telah bermula di peringkat pengambilan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan Program Penajaaan Pelajaran.

Tambahnya, MARA juga menyediakan penajaan pelajaran di institusi dalam dan luar negara berbentuk pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang bermula dari program persediaan sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Katanya, ia termasuk kursus-kursus pentauliahan profesional, kepakaran (spesialis) dan program-program kritikal yang diselaraskan mengikut keperluan negara pada masa hadapan.

Bagi tahun 2021, katanya, MARA menyediakan peruntukan untuk membiayai 60,000 pelajar merangkumi 35,000 pelajar sedia ada dan 25,000 pelajar baharu.

“Pemilihan pelajar bagi mengikuti program penajaan ini bukan hanya tertumpu dari aspek status sosio ekonomi (SES) keluarga sahaja, tetapi turut mengambil kira kecemerlangan akademik, kebolehan pelajar yang dinilai melalui ujian psikometrik, ko-kurikulum serta status institusi pendidikan dan program yang dipilih. MARA mengutamakan program pengajian dalam universiti terbaik dunia.

“Peratusan itu juga jelas menunjukkan bahawa pihak KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) bersama MARA sememangnya memberikan keutamaan kepada anak-anak dari keluarga B40, sekaligus menafikan dakwaan tajaan MARA lebih mengutamakan pelajar dari keluarga T20.

“Saya mohon kepada orang ramai untuk merujuk MARA terlebih dahulu sekiranya terdapat dakwaan tidak berasas daripada pihak tertentu,” jelas Mahdzir.

Terbaharu, MARA menghantar 215 pelajar tajaannya ke United Kingdom dibawah program Young Talent Development Program (YTP), IPMA Excellent Sponsorship Program (IESP) dan World Top University (WTU). — Majoriti

MARA, taja, Mahdzir Khalid